Nuffnang Ads

Selasa, 31 Januari 2012

Kamen Rider ZX

Kamen Rider ZX atau sesetengah pihak menggelarnya sebagai “Zee-Cross” merupakan Kamen Rider yang ke-10. Pada mulanya Kamen Rider ZX bermula di dalam sebuah majalah bulanan dalam bentuk gambar dan teks seperti komik. Selepas 14 episod disirikan di dalam majalah barulah Kamen Rider ZX mendapat rancangan televisyen khas yang bertajuk “Birth Of The 10th! Kamen Riders All Together!!” disiarkan pada Januari 1984. 

Kita mulakan dengan perjalanan cerita Kamen Rider ZX dari majalah dahulu. Kisah ini bermula apabila seorang juruterbang, Murasame Ryo bersama kakaknya Shizuka menaiki kapal terbang untuk meneroka Hutan Hujan Amazon telah diserang oleh UFO. Kemudiannya mereka telah ditangkap oleh pihak UFO itu yang dikenali sebagai BADAN. Murasame telah diubahsuai menjadi “cyborg” demi berkhidmat sebagai orang bawahan BADAN. Manakala nasib Shizuka malang apabila dia mati dibunuh. 

Ketika pembedahan otak untuk menghilangkan ingatan Murasame telah berlaku letupan di makmal dan Murasame telah bangun dan mendapat ingatannya semula. Murasame telah melarikan diri dan bertemu seorang saintis iaitu Dr Kaido bersama anak angkatnya Ichijo Rumi. Dr.Kaido telah melakukan X-Ray ke atas Murasame dan mendapati hampir 99% badannya adalah mekanikal. Murasame ingin membalas dendam di atas kematian kakaknya dan kehilangan badan asalnya dengan menghapuskan BADAN. 

ZX mempunyai motosikal diberi nama “Hell Driver”. Ianya sama seperti motosikal para Rider yang lain. Kamen Rider ZX juga dikenali sebagai Ninja Rider mempunyai banyak senjata ninja di badannya seperti bahan letupan, bintang lempar dan sebagainya. Pada ketika itu juga para Rider yang lain sudah lama memerhatikan tindakan BADAN. 


Masalah timbul apabila ZX bertembung Kamen Rider V3, Riderman dan Super-1 apabila ZX menganggap mereka semua orang bawahan BADAN maka berlaku penentangan. Akhirnya V3 berjaya menghalang ZX dari membunuh Riderman dan Super-1 dengan menjelaskan bahawa mereka di pihak yang baik. ZX kemudiannya telah menyertai barisan para Rider yang lain berjuang menentang BADAN. Manakala di dalam rancangan khas televisyen pula ZX telah menyertai para Rider yang lain setelah melihat perjuangan sembilan Rider menentang musuh. Kemudian sepuluh Rider ini bersatu menentang ketua BADAN iaitu Ambassador Darkness yang asalnya adalah Ambassador Hell dari siri asal sebelum ini. Tetapi dalang utama BADAN yang sebenar adalah Great Leader merupakan dalang yang sama mengetuai semua organisasi jahat yang wujud dalam siri Rider sebelum ini. 

Great Leader sekali lagi telah melarikan diri dan pasti dia akan muncul kembali mengancam keselamatan dunia. Kamen Rider ZX tidak mempunyai siri tertentu maka sekiranya anda ingin mengetahui lebih banyak tentang ZX  boleh merujuk di dalam manga Kamen Rider Spirits. Maka tamatlah kisah Rider yang ke-10 iaitu Kamen Rider ZX!!!

Isnin, 30 Januari 2012

Kamen Rider Super-1

Kamen Rider Super-1/Kamen Raida Supa Wan merupakan kemasukan siri yang ketujuh di dalam Siri Kamen Rider. Siri ini mempunyai 48 epidsod dan disiarkan pada Oktober 1980 sehingga Oktober 1981.

Kisah ini bermula seorang angkasawan bernama Oki Kazuya yang bekerja di International Space Development Program telah menawarkan diri melakukan pembedahan siber. Pembedahan ini telah dilakukan di Amerika Syarikat diketuai saintis bernama Doktor Henry. Pembedahan ini mampu memberikan kebolehan Oki Kazuya hidup di ruang angkasa dan berupaya meneroka alam semesta. Kini Oki Katzuya sedia berkhidmat sebagai “cyborg” untuk kerajaan dengan nama Super-1. Tetapi tragedi berlaku apabila organisasi jahat iaitu Dogma Kingdom telah datang menyerang dan membunuh semua orang kecuali Oki Kazuya. 

Setelah tragedi tersebut Oki Kazuya membuat keputusan berjumpa gurunya pewaris pencak “Sekishin Shorin Ken” iaitu Guru Genkai  di Jepun untuk mendapatkan bantuan. Di sana dia telah mempelajari teknik untuk berubah menjadi Kamen Rider Super-1 malah berazam memusnahkan Dogma Kingdom. Dia dibantu beberapa orang seperti Tani Genjiro, Choro dan Harumi. Oki Kazuya turut memperolehi “Check Machine” yang mampu mengesan dan membaiki kerosakan badannya. 




Super-1 mempunyai dua buah motosikal iaitu “V-Jet” yang besar dan kompleks manakala “Blue Version” pula lebih ringan. Super-1 dilengkapi lima sarung tangan yang mempunyai fungsi serta warna tertentu dan ia dipanggil “Five Hands”. Super-1 akan melakukan gerakan tertentu sambil menyebut nama salah satu fungsi tangan dan sarung tangannya akan berubah  mengikut kehendaknya. 







Mari kita lihat keterangan dan fungsi sarung tangan tersebut satu persatu : 

SUPER HANDS 

 
Sarung tangan yang pertama dipanggil Super Hands yang mampu melancarkan “Super Punch”. 

POWER HANDS 

Yang kedua adalah “Power Hands” dengan kebolehan mengangkat objek berat dan serangan “Megaton Punch”. 

ELEKI HANDS

 Ketiga iaitu “Eleki Hands” yang mampu mengeluarkan pancaran elektrik. 

RADAR HANDS

Yang keempat adalah “Radar Hands” yang boleh melancarkan peluru berpandu mini dan mempunyai radar. 

REINETSU HANDS


Terakhir adalah “Reinetsu Hands” yang mempuyai dua fungsi iaitu tangan kanan boleh melancarkan api manakala tangan kiri boleh mengeluarkan asap pembeku. 

Setelah persiapan dilakukan Kamen Rider Super-1 kini yang lengkap ilmu seni bela diri bersedia memulakan perjuangan menentang Dogma Kingdom. Musuh yang dihadapi oleh Super-1 terdiri daripada askar robot, kaijin berupa mekanikal dan cyborg berteknologi tinggi. Pegawai tinggi Dogma Kingdom pertama ditentang oleh Super-1 adalah Megaal Shogun. Ia tewas di tangan Super-1 kemudian muncul Emperor  Terramacro, ketua Dogma Kingdom dalam bentuk sebenarnya iaitu “Kaizer Grow” telah membunuh Guru Genkai serta rakan segurunya. Bagaimanapun Super-1 telah berjaya menewaskannya. Ia tidak tamat di situ sahaja kerana Dogma Kingdom hanyalah satu organisasi di bawah pemerintahan Jin Dogma. Marshal Akuma adalah ketua di dalam Jin Dogma. 

Perjuangan Super-1 diteruskan dan ia menentang keseluruhan kaijin milik Jin Dogma serta Marshal Akuma. Di episod terakhir didedahkan bahawa dalang utama Dogma Kingdom dan Jin Dogma adalah makhluk asing dari B26 Dark Nebula Gang. Setelah kemusnahan Jin Dogma, Oki Kazuya telah dapat mencapai impiannya iaitu meneroka angkasa lepas dengan bantuan saintis baru. Kamen Rider Super-1 akan muncul kembali untuk berjuang apabila dia diperlukan sekali lagi……  


Kamen Rider Skyrider

Kamen Rider Skyrider/Kamen Raida Sukairaida merupakan kemasukan siri  yang keenam di dalam siri Kamen Rider era Showa. Ia disiarkan pada Oktober 1979 sehingga Oktober 1980 dan mempunyai  54 episod. 

Kisah ini berlaku apabila seorang lelaki yang gemar meluncur di udara bernama Tsukaba Hiroshi sedang berkhemah bersama-sama rakannya namun dia telah bertemu kaijin Neoshocker sedang menangkap saintis iaitu Dr.Shido Keitaro. Tsukaba Hiroshi cuba menyelamatkan Dr.Shido tetapi dia dipukul dengan teruk oleh kaijin tersebut. Dr.Shido kemudiannya membuat perjanjian kepada komander Neoshocker iaitu General Monster supaya mengizinkannya mengubahsuai Tsukaba Hiroshi menjadi “cyborg” yang sangat kuat dan setia kepada General Monster. Dr.Shido terpaksa membuat keputusan sedemikian demi meyelamatkan nyawa Tsukaba Hiroshi. Setelah selesai pembedahan rupanya Dr.Shido tidak mengubahsuai Tsukaba Hiroshi sebagai kaijin tetapi Kamen Rider yang baru!!! 

Tsukaba Hiroshi dan Dr.Shido telah melarikan diri dan ini merupakan perubahan hidup yang perlu dijalani Tsukaba Hiroshi. Tsukaba Hiroshi telah berazam memusnahkan Neoshocker. Melalui pembedahan itu Tsukaba Hiroshi bukan sahaja mampu berubah menjadi Kamen Rider malah mampu terbang di udara dengan menggunakan “Sailing Jump”. Dia merupakan Kamen Rider yang pertama berkebolehan sedemikian dan konsep Kamen Rider ini berdasarkan belalang juta yang mampu terbang. 

Tsukaba Hiroshi mempunyai motosikal bernama Sky Turbo yang mampu memecahkan dinding dengan menggunakan teknik Rider Break. Selain Dr.Shiro yang sering membantu Tsukaba Hiroshi muncul seorang lelaki Tani yang mempunyai seperti perwatakan Tachibana Tobei.  Selain itu watak GanGan G diperkenalkan untuk membantu Kamen Rider menentang kejahatan namun kadangkala agak menyusahkan. GanGan G hanyalah seorang lelaki biasa yang gemuk dan memakai zirah buatan sendiri serta menaiki skuter. 
 
Walaupun dia agak melucukan namun semangat perjuangannya menentang kejahatan tiada tandingan. Perjuangan Kamen Rider ini menentang Neoshocker bermula dan telah bertarung dengan General Monster dalam bentuk sebenarnya iaitu Yamorijin. Keputusannya General Monster tewas di dalam pertarungan tersebut. Setelah kematian General Monster pegawai baru telah dilantik iaitu Admiral Majin. Kamen Rider Stronger datang membantu dalam episod ke-20 dan dia telah memberikan nama kepada Tsukaba Hiroshi sebagai Kamen Rider Skyrider!!! 


Sepanjang siri ini Skyrider tidak mempunyai nama yang khas kecuali panggilan Kamen Rider dan bermula episod 20 dia kini bergelar Kamen Rider Skyrider. Stronger telah mengajar Skyrider teknik baru iaitu “Dai Kaiten Sky Kick” sebagai serangan penamat Skyrider. Stronger juga memberitahu kisah dan identiti  para Rider sebelum ini kepada Skyrider. Kemudian muncul Kamen Rider V3, Riderman dan Kamen Rider X datang membantu Skyrider. Di episod 27 dan 28 semua Rider sebelum ini bersama-sama Skyrider menentang semua askar kaijin yang telah dihidupkan semula. 

Ketika itu berlaku perubahan kepada Skyrider di mana dia telah meningkatkan had tubuhnya demi menguatkan dirinya. Proses itu menyebabkan warna kostum Skyrider betukar warna hijau gelap menjadi  hijau cair. Perubahan ini juga boleh dipanggil sebagai “Power Up Version”. Perubahan kedua ini memberikan Skyrider tenaga yang kuat dan mendapat teknik pertarungan yang baru. Teknik pertarungan baru Skyrider diberi nama “Kjuyukyu No Waza” bermaksud “99 Teknik” namun tidak semua teknik ini ditunjukkan di dalam siri ini. Sekali lagi para Rider datang membantu Skyrider dalam perjuangan terakhir iaitu memusnahkan keseluruhan Neoshocker. 



Tragedi berlaku di saat akhir apabila kesemua Rider terkorban demi menyelamatkan dunia. Bagi peminat Kamen Rider tahu bahawa para Rider tidak mati. Ternyata ia memang benar kerana Skyrider dan Rider yang lain muncul di dalam filem Kamen Rider Super 1 datang untuk membantu. Maka perjuangan Kamen Rider Skyrider masih belum tamat di sini…..

Ahad, 29 Januari 2012

Kamen Rider Stronger

Kamen Rider Stronger/Kamen Raida Sutoronga merupakan siri kemasukan yang kelima di dalam Siri Kamen Rider era Showa. Ia mempunyai 39 episod dan disiarkan pada 5 April sehingga 27 Disember 1975.

Kisah ini bermula apabila rakan baik Jo Shigeru mati dibunuh oleh organisasi jahat bernama Black Satan. Demi membalas dendam Jo Shigeru telah menyertai Black Satan dan menawarkan diri menjalani pembedahan siber sebagai pejuang kejahatan. Setelah selesai pembedahan itu Jo Shigeru terus mengkhianati Black Satan dan menggelarkan dirinya sebagai Kamen Rider Stronger!!! Tema Kamen Rider Stronger berdasarkan elektrik memandangan semua serangannya berunsur elektrik. Gaya “Henshin” Kamen Rider Stronger adalah dengan mengeluarkan kilat dari tangan serentak dengan tali pinggangnya mengeluarkan elektrik untuk berubah.


Jo Shigeru dalam bentuk manusianya sentiasa memakai sarung tangan kalis elektrik kerana menyembunyikan tangannya yang masih kelihatan bentuk “cyborg” iaitu tangan gegelung besi. Selain itu Jo Shigeru sentiasa memakai pakaian dengan huruf “S” yang besar. Dia juga orang pertama yang agak pelik di mana gaya kemunculannya pada kebiasaan berada di tempat tinggi sambil bersiul mengelirukan musuh. Setelah berubah Kamen Rider Stronger sentiasa bermukadimah memperkenalkan diri sebelum berlawan. Kamen Rider Stronger berkonsepkan kumbang yang berlainan dengan para Rider yang lain yang berkonsepkan belalang.

Kamen Rider Stronger mempunyai sebuah motosikal bernama Kabutoro yang mampu mengeluarkan serangan Kabutoro Thunder untuk merenjat musuh. Stronger merupakan Kamen Rider yang berkeyakinan tinggi, sombong dan sentiasa tenang dalam sebarang situasi. Kamen Rider Stronger juga mempunyai rakan seperjuangannya iaitu Misaki Yuriko yang berkebolehan berubah menjadi Electro Wave Human Tackle bersama-sama menentang Black Satan.





Selain itu kemunculan Tachibana Tobei yang tidak dikenali Stronger dan Tackle pada awalnya telah menjadi rakan baik sepanjang perjuangan Stronger. Stronger menentang Black Satan peringkat demi peringkat dan pegawai Black Satan pertama yang menentang Kamen Rider Stronger adalah One Eyed Titan namun tewas di tangan Stronger. Selepas itu muncul pegawai kedua iaitu General Shadow namun One Eyed Titan hidup semula sebagai Hundred Eye Titan setelah menjalani pengubahsuaian. Stronger sekali lagi menentang Hundred Eye Titan dan ia sekali lagi tewas dan mati akibat serangan penamat Stronger serta jatuh ke dalam gunung berapi. Dengan keadaan huru hara yang ditimbulkan oleh Stronger ke atas Black Satan muncul pegawai yang ketiga iaitu Dead Lion telah mengambilalih seluruh kuasa Black Satan dan mengetepikan General Shadow. Kamen Rider Stronger telah bertembung dan berlawan dengan Great Leader Black Satan.

Seperti kebiasaannya Stronger berjaya menewaskannya namun ia tidak tamat begitu sahaja apabila General Shadow telah menubuhkan kumpulannya sendiri iaitu Delzer Army selepas kematian Great Leader Black Satan. Kamen Rider mempunyai misi baru iaitu menghapuskan Delzer Army namun tragedi berlaku apabila Tackle mengorbankan dirinya demi menyelamatkan Stronger dari diracuni oleh Doctor Keito. Kejadian itu menyebabkan Stronger nekad dan berazam menghancurkan Delzer Army. Kemudiannya Stronger membuat pembedahan baru dari bekas saintis Black Satan untuk menambahkan kuasa.


Dengan kuasa baru yang dikenali sebagai “Charge Up” mampu mengubah Stronger  dalam bentuk kedua. Semasa berubah dalam bentuk Charge Up” huruf “S” di dada Stronger akan berpusing kemudian tanduknya bertukar warna menjadi perak serta dadanya mempunyai belang berwarna perak. Dengan perubahan ini Stronger dapat meningkatkan tenaganya dan pelbagai kuasa baru dapat digunakan. Dengan ini Stronger merupakan Rider yang pertama mampu berubah bentuk. Sementara itu di Dalzer Army, General Shadow telah diketepikan oleh Generalissimo Machine yang telah merampas kuasa dan kedudukannya. General Shadow ingin menghapuskan Stronger demi maruahnya yang tercalar. Stronger turut mendapat bantuan para Rider yang lain seperti Kamen Rider 1, Kamen Rider 2, Kamen Rider V3, Riderman, Kamen Rider X dan Kamen Rider Amazon. Delzer Army juga telah menculik Tachibana Tobei.

Stronger akhirnya bertemu dengan General Shadow dan berjaya menewaskannya. Akhir sekali kesemua Rider bersatu memusnahkan Delzer Army manakala Generalissimo Machine mati meletup melalui tumbukan Stronger. Setelah menyelamatkan Tachibana para Rider diberitahu ancaman masih belum tamat kerana pemimpin sebenar Delzer Army masih hidup. Tujuh Rider ini pergi menentang dan terkejut melihat Great Leader merupakan pemimpin Delzer Army. Great Leader sebelum ini pemimpin kepada Shocker, Gelshocker, Destron, G.O.D, Gorgos, Garander Empire, Black Satan dan kini Delzer Army.


Pertarungan terbesar antara para Rider menentang Great Leader berlaku dan mereka berjaya menewaskannya. Walaupun dunia telah aman damai setelah kemusnahan Black Satan dan Delzer Army namun kesemua para Rider masih diperlukan apabila musibah berlaku di masa hadapan.

Khamis, 26 Januari 2012

Kamen Rider Amazon

Kamen Rider Amazon/Kamen Raida Amazon merupakan kemasukan siri yang keempat di dalam fraincais “Siri Kamen Rider”. Ia mempunyai 24 episod dan disiarkan pada tahun 1974 sehingga 1975. 

Kisah ini bermula apabila satu kemalangan kapal terbang yang telah meragut nyawa kedua ibu bapa Yamamoto Daisuke yang ketika itu masih kecil. Yamamoto Daisuke yang hilang di hutan Amazon telah dijaga dan dibesarkan oleh puak tempatan di situ. Di situ selain terdapat haiwan-haiwan buas terdapat juga makhluk yang ganas bernama Gorgos, Raksasa Sepuluh Muka. Gorgos telah menyerang kampong Daisuke dan membunuh semua orang kecuali Daisuke. Tujuannya tidak membunuh Daisuke adalah untuk mendapatkan gelang GiGi salah satu artifak purba yang mampu memberikan kuasa mutlak apabila digabungkan bersama gelang GaGa. 


Seorang Bomoh iaitu Bago memberikan gelang Gigi kepada Daisuke dan melakukan pembedahan misteri ke atasnya dengan gabungan ilmu sains serta tamadun Inca. Pembedahan ini memberi kebolehan Daisuke berubah menjadi Kamen Rider Amazon!!! Dengan kuasa baru yang dimilikinya Daisuke menuju ke Jepun. 




Di sana Daisuke telah bertemu Doktor Kosaka Taro yang mengenali bapanya dan boleh memahami bahasa isyarat Daisuke memandangkan dia tidak tahu berbahasa Jepun. Namun Doktor Kosaka Taro mati dibunuh oleh Jujin yang dihantar oleh Gorgos. Tiada siapa lagi yang mampu memahami isyarat Daisuke untuk berkomunikasi. 



Kemudiannya Daisuke telah menyelamatkan seorang budak lelaki bernama Okamura Masahiko dan mereka menjadi kawan. Sepanjang siri ini Masahiko, Ritsuko iaitu kakak Masahiko dan Tachibana banyak mengajar Daisuke cara hidup di Bandar seperti pakaian, adab dan sebagainya. 



Masahiko pada asalnya menggelar Daisuke sebagai Kamen Rider kemudian ditukar menjadi Kamen Rider Amazon atau Amazon Riders. Kamen Rider Amazon kini bertarung untuk melindungi Masahiko, Ritsuko dan gelang GiGi dari ancaman Gorgos. 




Daisuke turut memperolehi sebuah motosikal yang unik bernama Jungler. Keunikan Jungler adalah rekaan dan penampilan yang unik. Jungler mempunyai “mata” dan “mulut” di hadapan manakala “sayap” di belakang. Di dalam “mulut” Jungler mempunyai tali dan pelancar cangkuk untuk digunakan sesuatu kejadian. Selain itu Jungler tidak berubah bentuk semasa Daisuke berubah menjadi Kamen Rider Amazon. Kamen Rider Amazon bertukar secara biologikal berbanding Rider lain yang memakai topeng dan zirah. Walaupun Amazon mempunyai tali pinggangnya semasa dan sebelum berubah namun ia bukannya alat untuk Amazon berubah. Amazon menggunakan gelang untuk berubah. 

Kamen Rider Amazon juga lebih ganas dan kejam berbanding para Rider sebelum ini.  Teknik berlawan Kamen Rider Amazon agak primitif kalau dibandingkan para Rider sebelum ini disebabkan dia dibesarkan di dalam hutan. Amazon juga tidak pernah menggunakan teknik-teknik para Rider sebelum ini seperti Rider Punch, Rider Kick ataupun Rider Jump namun teknik serangannya yang diberi nama haiwan sangat berkesan mengalahkan musuh. Selain itu juga Amazon satu-satunya Rider pertama yang boleh membuka mulutnya untuk menggigit musuh selain Kamen Rider Gills dalam siri Kamen Rider Agito. Walaupun rekaan Amazon berkonsepkan biawak namun seolah-olah Amazon gabungan dari pelbagai haiwan. Amazon pada awalnya sentiasa membongkok seperti haiwan ketika berlawan tetapi ianya berubah di mana dia yang telah mempelajari gaya hidup tamadun mengubah gaya pertarungannya serta menghasilkan Rider Kick. 

Disebabkan teknik berlawannya sangat berbeza maka kebanyakan musuhnya mati dengan memancutkan darah sambil dibelah dua oleh serangan penamat Amazon iaitu “Dai Setsudan”. Hanya sedikit sahaja dilihat musuhnya mati meletup. Amazon juga mempunyai rakan seperjuangan iaitu Mogura, jujin yang mengkhianati Gorgos dan menjadi kawan kepada Amazon. Ia membantu Amazon setiap kali memerlukan bantuan bermula dari episod 5 sehingga 20. Tetapi Mogura telah mati dibunuh oleh Mushroom-Jujin. Walaupun Amazon berbeza dengan para Rider yang lain dia masih diterima sebagai keluarga Rider dan bersahabat dengan Kamen Rider X. 

Amazon dan Hebitonto-Jujin (pengkhianat Gorgos) telah bertarung dengan Gorgos. Akhirnya Gorgos mati dalam letupan. Namun ianya tidak tamat begitu sahaja apabila gelang GaGa artifak purba kedua yang berada di tangan Gorgos ketika mati terjatuh di tangan pihak lain iaitu Garander Empire. Emperor Zero merupakan ketua Garander Empire dan ini menyebabkan Kamen Rider Amazon meneruskan perjuangannya. Amazon menentang Garander Empire dan Emperor Zero. Di episod terakhir dapat disaksikan kuasa gabungan gelang GiGi dan Gaga. Setelah kemusnahan Gorgos dan Garander Empire Amazon telah meninggalkan Jepun untuk melihat dunia luar. Amazon pasti akan kembali apabila dunia didatangi penjahat. Sepanjang siri ini tiada satu para Rider sebelum ini datang membantu Kamen Rider Amazon berjuang dan ini membuktikan Amazon adalah salah satu Kamen Rider yang hebat.      


Kamen Rider X

Kamen Rider X/Kamen Raida Ekkusu/Masked Rider X adalah kemasukan ketiga di dalam "Siri Kamen Rider". Ia disiarkan dari 16 Februari sehungga 12 Oktober 1974 dengan jumlah 35 episod. Selepas Kamen Rider V3 dan Riderman memusnahkan Destron kehidupan aman damai mula terancam apabila satu pertubuhan bernama Government Of Darkness (G.O.D) muncul. 

Watak utama Kamen Rider X iaitu Jin Keisuke merupakan seorang pelajar ilmu laut. Ayahnya iaitu Jin Keitaro seorang saintis robot yang bijak dan sentiasa mengeluarkan idea-idea yang menakjubkan. Mereka pada mulanya mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik sehinggalah timbul satu pergaduhan di antara mereka. Malangnya mereka terperangkap di dalam keganasan dan dibunuh oleh G.O.D. Jin Keitaro tidak mati namun dengan keadaan yang cedera parah dia sempat mengubahsuai anaknya menjadi “cyborg”  yang telah direka asalnya untuk penerokaan dasar laut. 

Jin Keitaro terpaksa melakukan semua ini demi menghidupkan semula anaknya. Akhinya Jin Keitaro mati setelah mengubahsuai anaknya. Dengan ini Jin Keisuke hidup semula sebagai “cyborg” yang diberikan nama sebagai Kamen Rider X!!! Bermula satu perjuangan baru dalam hidup Jin Keisuke menentang G.O.D demi membalas dendam dan menegakkan keadilan. Kamen Rider X merupakan rider pertama menggunakan senjata bernama Ridol di mana ia merupakan belantan yang boleh bertukar menjadi tali dan cemeti. 

Seperti sedia maklum kebanyakan Rider yang lepas kebiasaannya menyebut “Henshin” sebelum bertukar menjadi Kamen Rider namun berbeza pula Kamen Rider X kerana dia akan menyebut “Set Up” untuk berubah. Cara Kamen Rider X menjelma sangat unik kerana topengnya di mana ia dipasang satu demi satu bahagian muka. Bermula dari kiri mukanya, muka kanan dan bahagian mulut. Kemudian dia akan menjerit “Dai Henshin” untuk mendapatkan kuasa yang lebih hebat. Kamen Rider X merupakan Rider yang paling sibernatik dan seringkali tidak mengetahui kekuatannya yang sebenar.  Walaupun Jin Keisuke menyedari dirinya adalah “cyborg” namun dia masih kelihatan dan berlagak seperti manusia biasa. Dia mampu membengkokkan besi dengan mudah malah tidak cedera walaupun menggenggam mata pisau di tangannya dalam bentuk manusia. 

Di sepanjang perjuangannya Jin Keisuke telah berjumpa Tachibana Tobei dan mengetahui tentang para  Kamen Rider yang lain melaluinya. Selain itu dia juga telah bertemu kembar Interpol iaitu Mizuki Kiriko dan Mizuki Ryoko. Kemudian dia turut mempunyai pembantu wanita bernama Chiko dan Mako yang terlibat di dalam urusan G.O.D. Pada awal siri Kamen Rider X dia hanya menentang kaijin yang berasaskan watak mitos Greek dan Rom. Pada pertengahan siri sehingga akhir Kamen Rider X mula menentang King Dark iaitu ketua G.O.D dan kaijinnya yang mempunyai bentuk kombinasi haiwan dengan watak terkenal dalam sejarah serta fiksyen. Kamen Rider 2 dan V3 turut muncul di episod 27,28,33 dan 34 bagi membantu Kamen Rider X sepanjang perjuangannya. 

Kamen Rider X mempunyai gaya pertarungan yang sendiri dan sentiasa menggunakan Ridol untuk menentang musuh dan membuat tanda “X”. Gaya tendangan Kamen Rider X adalah “X Kick” namun tiada perbezaan di antara “Rider Kick” para Rider sebelum ini. Kenderaan yang dimilikinya adalah sebuah motor yang luar biasa diberi nama sebagai Cruiser boleh digunakan di darat, laut dan udara. Selain itu ia mampu melancarkan serangan seperti Cruiser Great Revolution dan Cruiser Attack. Setelah penelitian perjalanan siri Kamen Rider X ia kurang memberi tumpuan terhadap konsep asal Kamen Rider X direka bagi penerokaan dasar laut. Tidak seperti edisi manga di mana Kamen Rider X digambarkan sebagai “Raja Lautan” .