Nuffnang Ads

Rabu, 22 Februari 2012

Shin Kamen Rider

Selepas siri Kamen Rider Black RX tamat tiada siri susulan Kamen Rider yang baru. Namun begitu terdapat tiga buah filem Kamen Rider dihasilkan bagi peminat setia Kamen Rider. Filem Kamen Rider itu adalah Shin Kamen Rider, Kamen Rider ZO dan Kamen Rider J. Ketiga-tiga filem ini mempunyai keistimewaan dan daya tarikan tersendiri. Kita mulakan dari filem Shin: Kamen Rider Prologue yang telah diterbitkan pada tahun 1992. 

Kisah ini bermula apabila Kazamatsuri Shin menawarkan diri menjadi bahan eksperimen bapanya iaitu Dr. Kazamatsuri Daimon. Dr. Kazamatsuri Daimon dan pasangannya Dr. Onizuka Giichi menjalani kajian mengenai pengubahsuaian genetik manusia untuk menguatkan tubuh manusia pulih dari sebarang penyakit jangkitan. Dr. Onizuka Giichi mempunyai niat yang lain dalam kajian itu iaitu mencipta bangsa manusia kacukan belalang lalu dia akan menjadi “dewa” kepada bangsa itu. Selain itu ISS cawangan organisasi Foundation yang membiayai kajian ini juga mempunyai niat yang jahat iaitu ingin menghasilkan askar super demi memusnahkan dunia. 


Dr. Onizuka Giichi telah menggunakan kajian Dr. Kazamatsuri Daimon  melakukan eksperimen ke atas dirinya sendiri. Kemudian dia berubah menjadi makhluk proto-Kamen Rider dikategorikan tahap Level 3. Melalui perubahan ini Dr. Onizuka Giichi menjadi ganas dan membunuh orang ramai serta saksi kejadian pada waktu malam. Sebenarnya Dr. Onizuka Giichi turut mengubahsuai genetik Shin sama dengan dirinya semasa eksperimen Shin dilakukan. Disebabkan Shin dan Dr. Onizuka Giichi mempunyai genetik yang sama maka Shin mempunyai hubungan telepati dengan Dr. Onizuka Giichi dalam bentuk raksasa. 

Kebelakangan ini Shin sering bermimpi melihat raksasa melakukan pembunuhan dan dia merasakan raksasa itu adalah dirinya. Namun hakikatnya apa yang dilihatnya itu adalah pandangan mata Dr. Onizuka Giichi dalam bentuk raksasa sedang membunuh mangsa. Begitulah hubungan telepati antara Shin dan Dr. Onizuka Giichi. Setelah Shin menyedari ia bukan satu mimpi sahaja dia mula mengesyaki Dr. Onizuka Giichi dan mengikutnya di satu gudang. Di sana dia telah melihat Dr. Onizuka Giichi berubah menjadi raksasa untuk menentang askar dari Foundation yang menyerbu tempat persembunyiannya. Shin telah pengsan melihat kejadian itu dan apabila tersedar dia terkejut melihat mayat bergelimpangan di sana sini. 


Keesokan harinya Shin sekali datang ke tempat kejadian dan melihat gudang tersebut kosong seolah-olah tiada kejadian berlaku semalam. Foundation ketika itu juga mengarah Gojima membunuh Shin. Namun Shin berjaya diselamatkan oleh agen wanita CIA iaitu Sarah Fukamachi. Sarah Fukamachi ditugaskan untuk menghapuskan projek “Cyborg Soldier” milik Foundation serta menghadapi raksasa mutan. Shin yang masih percaya dialah punca pembunuhan sebelum ini meminta teman wanitanya, Asuka Ai dan kawannya Yuuki Takuya menjauhkan diri daripadanya sebelum kejadian tidak diingini berlaku. 

Asuka tidak berbuat demikian malah setia bersama Shin. Tidak lama kemudian dalam satu kejadian Shin sekali lagi melihat Dr. Onizuka Giichi berubah kemudiannya dia mati dalam kebakaran akibat letupan dari kumpulan CIA. Setelah kematian Dr. Onizuka Giichi badan Shin telah berlaku perubahan mendadak. Perubahan itu menjadikannya dia sebagai Shin Kamen Rider!!! Shin Kamen Rider terlalu berbeza dengan para Rider sebelum ini. Antara perbezaan itu adalah tidak mempunyai pergerakan “henshin” malah cara dia berubah sangat menyeksakan dan mengerikan seperti seekor raksasa belalang. 

Tiada alat untuk berubah seperti tali pinggang para Rider yang lain. Shin juga tidak mempunyai serangan penamat seperti “Rider Punch” dan “Rider Kick”. Dalam bentuk ini Shin tidak mempunyai keupayaan untuk bercakap serta tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk bergerak. Gaya pertarungan Shin lebih ekstrem dan hanya mengikut naluri liarnya. Kemudian Gojima muncul dan berubah dalam tahap dua menjadi “Cyborg Soldier”. Berlaku pertarungan antara mereka tetapi Shin teruk dibelasah oleh “Cyborg Soldier”. Sarah Fukamachi sekali lagi menyelamatkan Shin dengan menembak bom ke arah  “Cyborg Soldier”. 

Shin kemudiannya melarikan diri. Tidak lama kemudian Shin mendapati Asuka merupakan ahli Foundation ditugaskan memerhatikan Shin. Tetapi Asuka kini lebih mementingkan Shin berbanding Foundation malah dia sedang mengandungkan anak Shin. Kemudian Asuka dan bapa Shin telah ditangkap oleh Foundation dan menyebabkan Shin segera datang ke pusat organisasi Foundation. Shin berjaya menyelamatkan bapanya dan Asuka tetapi dikepung ketua Foundation yang bersenjata. Ketika itulah Asuka mengorbankan dirinya demi melindungi Shin dari terkena tembakan. Shin dalam keadaan marah telah berubah bentuk untuk bertarung secara tiba-tiba “Cyborg Soldier” muncul dan pertarungan kali kedua antara mereka bermula. 

Pertarungan yang sengit itu dimenangi oleh Shin dengan mencabut kepala dan tulang belakang “Cyborg Soldier”. Pihak CIA datang memusnahkan segala berkaitan projek “Cyborg Soldier” yang dimiliki Foundation. Shin dan bapanya berjaya melarikan diri dari buruan Foundation dan CIA. Penghujung filem ini Shin mendukung mayat Asuka dan tamatlah kisah perjuangan tragis wira kita…….  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan