Nuffnang Ads

Khamis, 16 Jun 2011

Kamen Rider Riderman

Riderman turut dikenali sebagai "Avenging Demon", Kamen Rider Yongo ataupun Kamen Rider No.4. Riderman tidak mempunyai siri yang tersendiri ini kerana dia membuat kemunculan sulung dan mati di dalam siri kamen rider V3 serta turut mengambil bahagian di dalam siri dan filem kamen rider yang lain.
Nama sebenar Riderman adalah Yuuki Jyoji, seorang bekas ahli saintis Destron. Dia berkhidmat dengan setia untuk Destron sehinggalah Marshall Armor telah memfitnahnya sebagai pengkhianat bagi menutup kegagalan dirinya mengalahkan kamen rider V3. Akhirnya Yuuki dijatuhkan hukuman maut dengan direndam ke dalam kolam asid dan menyebabkan tangan kanan Yuuki melecur teruk. Namun rakan saintisnya sempat datang menyelamatkannya dengan mengalih perhatian Destron melalui bom yang telah mereka pasang.


Selepas melarikan diri dari Destron mereka bersembunyi di terowong bawah tanah Tokyo. Yuuki berazam akan membalas dendam terhadap Marshall Armor demi kebaikan Destron. Ini disebabkan Yuuki seorang saintis yang bekerja di bahagian infrastruktur Destron maka dia beranggapan telah membantu dunia dengan menyertai Destron membuat impian Great Leader membina utopia menjadi kenyataan. Yuuki langsung tidak mengetahui rancangan sebenar Destron.



Yuuki meminta rakan saintisnya menggantikan tangan kanannya dengan tangan siber. Selepas memasang tangan tangan baru Yuuki dengan hanya gerudi dan penyepit elektrik salah seorang saintis keluar mendapatkan bantuan perubatan. Tetapi Marshall Armor telah mengetahui perkara tersebut dan menghantar kaijin menghapuskan mereka. 


Kamen Rider V3 datang tepat pada masanya tetapi kaijin berjaya mengesan tempat persembunyian para saintis. Selepas membunuh rakan Yuuji, kaijin telah menawan adik salah seorang saintis. Namun yang lebih mengejutkan ketika itu Yuuki telah berubah menjadi “Iblis Pendendam” sebagai Riderman!!! Pembedahan itu telah berjaya dan memberikan Yuuki tangan siber serta berkebolehan berubah menjadi Riderman. Riderman bukanlah cyborg yang sempurna  seperti Kamen Rider 1, Kamen Rider 2 dan V3. Ini kerana hanya tangan kanan Yuuki sahaja diubahsuai daripada ciptaan artifisial. Namun Yuuki menutup kelemahan itu dengan kemahirannya menggunakan “Attachment Arms” yang unik, pengetahuan saintifik dan semangat tidak menyerah kalah untuk menentang Marshall Armor.

Riderman hanya menggunakan motosikal Suzuki yang biasa untuk bergerak. Tidak seperti motosikal para kamen rider yang lain, ia tidak berubah dan kekal sama semasa Riderman berubah. Yuuki tidak mempunyai tali pinggang untuk berubah seperti Rider sebelum ini. Yuuki akan memakai "Riderman Helmet" di kepala untuk berubah menjadi Riderman. 


Sepanjang masa itu Yuuki masih menganggap Destron merupakan pihak yang baik manakala Marshall Armor dan pengikutnya sahaja perlu dihapuskan. Riderman membuat keputusan menghapuskan Marshall Armor demi mendapat kepercayaan semula Great Leader. Berbeza bagi V3, dia mengetahui keseluruhan Destron adalah pihak yang jahat. Kamen Rider V3 berpendirian menentang Destron manakala Riderman pula masih setia terhadap Great Leader tetapi tetap diburu dan dibenci oleh Destron disebabkan pengkhianatannya sebelum ini. Pada permulaan Riderman menentang Kamen Rider V3 beberapa kali yang ingin memusnahkan Destron namun setelah mencapai persetujuan mereka menentang Marshall Armor bersama tetapi tidak memusnahkan keseluruhan Destron. Ketika itu Yuuki dalam keadaan serba salah kerana dia perlu bersama dan menentang V3 pada masa yang sama.

Akhirnya Destron mula menunjukkan rupa sebenar dan ingin memusnahkan Tokyo dengan misil nuklear yang dipanggil Pluton Rocket. Kamen Rider V3 dan Riderman mula menyerang pangkalan Destron tetapi sepanjang perlawanan itu V3 terkena letupan lalu pengsan. Kini hanya Riderman seorang diri untuk terus berjuang ke dalam pusat utama Destron. Riderman berjaya memasuki pusat utama dan di situlah dia terdengar pelbagai rancangan jahat Marshall Armor dan Great Leader. Riderman merayu agar Pluton Rocket tidak dilancarkan tetapi tidak dihiraukan Great Leader. Disebabkan itu Riderman telah sedar dan mula berpihak kepada Kamen Rider V3 sepenuhnya untuk menghapuskan keseluruhan Destron.

Di pengakhiran cerita Riderman gagal menghentikan kiraan masa Pluton Rocket maka dia menaiki misil tersebut untuk menghentikannya secara manual. Riderman turut mengucapkan selamat tinggal kepada Kamen Rider V3 dan setelah kiraan berlepas mencecah kosong Pluton Rocket bersama Riderman menuju ke udara. Riderman telah berjaya mengubah haluan Pluton Rocket lalu ia meletup di udara bersama Riderman!!! Kamen Rider V3 menjerit dan mengisytiharkan Riderman sebagai Kamen Rider Nombor 4.

Destron telah dimusnahkan namun turut kehilangan wira yang berani iaitu Riderman!!! Tetapi bagi peminat setia kamen rider Riderman tidak mati dan pasti akan muncul. Ini dapat dibuktikan Riderman muncul dalam filem Five Riders Vs King Dark dan juga di dalam siri Kamen Rider X dan Stronger. Tiada penjelasan bagaimana Riderman terselamat di dalam letupan itu namun bagi sesiapa yang membaca manga Kamen Rider Spirits pasti menemui jawapannya. Dalam edisi manga Yuuki telah tercampak dari letupan dan berada di Tahiti. Yuuki telah kehilangan ingatan akibat letupan itu. Namun ingatannya kembali apabila menentang raksasa  ketam gergasi yang menyerupai Marshall Armor. Setelah menumpaskan raksasa tersebut Yuuki membuat keputusan pulang ke Jepun.

Sekarang mari kita lihat beberapa senjata Riderman iaitu Attachment Arms :

ROPE ARM

Senjata ini sering digunakan dalam pelbagai cara sepanjang perjuangan Riderman. Ia digunakan untuk melarikan diri, memanjat dan juga berlawan. Terdapat Hook Arm dengan sambungan cangkuk untuk memanjat dan berlawan. Selain itu ia mempunyai dua teknik menggunakan tali iaitu Swing Arm dan Sickle Arm.

SWING ARM

Apabila cokmar disambungkan dia mempunyai Swing Arm yang boleh dipanjangkan sebagai senjata bertali. Terdapat juga Net Arm di mana ia boleh mengeluarkan jaring untuk menangkap musuh.

SICKLE ARM

Sickle Arm yang tidak digunakan di dalam siri namun berdasarkan pada gambar ia digunakan untuk pertempuran.

POWER ARM

Ia merupakan senjata terkuat Riderman yang mampu meningkatkan kekuatan serangan Riderman.

DRILL ARM

Tangan gerudi ini dilihat sebagai senjata pencerobohan. Kelemahannya ia perlu disambungkan elektrik untuk berfungsi. Berbeza dalam edisi manga tangan gerudi ini mampu berfungsi dengan baik tanpa menggunakan elektrik.

Machine Gun Arm

Tangan mesingan hanya terdapat dalam edisi manga.

Spray Arm

Senjata yang mempu mengeluarkan gas atau asap untuk mengalihkan perhatian musuh namun ia tidak pernah ditunjukkan.

Octopus Arm

Senjata ini untuk memanjat dan ia juga tidak pernah digunakan.

Kamen Rider V3

Kamen Rider V3/Kamen RaidaBuisuri/Masked Rider V3 merupakan siri kedua di dalam "Siri Kamen Rider" era Showa. Siri ini merupakan kesinambungan daripada Rider sebelum ini. Ia disiarkan pada Februari 1973 sehingga 1974 dengan jumlah 52 episod.

Siri Kamen Rider V3 bermula di mana Kazami Shiro telah menyaksikan pembunuhan seorang lelaki oleh Destron lalu menjadi buruan mereka. Pada masa yang sama dia turut menyelamatkan seorang gadis bernama Tama Junko yang mengetahui lokasi pangkalan Destron. Dia membawa Junko pulang ke rumahnya namun sebaik sahaja tiba di rumah dia menyaksikan ibu, bapa dan adiknya mati dibunuh kaijin Destron. Dia diselamatkan oleh guru kimianya iaitu Hongo Takeshi (Kamen Rider 1) manakala Kamen Rider 2 turut tiba di tempat kejadian.  Disebabkan dendam Kazami Shiro meminta Kamen Rider 1 dan 2 mengubahsuai dirinya menjadi “cyborg” seperti mereka.  Namun kedua Rider itu menolak permintaannya.

Dua Rider ini mula memasuki pangkalan Destron tetapi terperangkap dengan senjata laser di hadapan mereka. Kazami Shiro telah datang menyelamatkan dua Rider tersebut namun cedera parah akibat terkena tembakan laser. Dua Rider tiada pilihan lain untuk menyelamatkan nyawa Kazami Shiro mereka mengubahsuainya menjadi “cyborg”. Musuh mula menyerang menyebabkan dua Rider terpaksa meninggalkan Kazami Shiro di atas meja pembedahan  untuk menentang musuh.  Semasa dua Rider sedang bertarung muncul Kamen Rider baru dihasilkan yang diberi nama Kamen Rider V3!!!

Pertarungan yang sengit itu menyebabkan Kamen Rider 1 dan 2 “terkorban” akibat letupan dari pihak musuh. Tetapi mereka muncul semula dalam episod ke-33. Kamen Rider V3 yang kekurangan pengalaman dan pengetahuan tentang kuasanya perlu belajar menggunakannya peringkat demi peringkat. Sepanjang awal siri ini kuasa Destron diketuai oleh Great Leader Of Destron namun tidak didedahkan identitinya. Hanya melalui suara di sebalik patung kala jengking menjadi komunikasi antara dia dengan orang bawahannya. Kemudian General baru Destron iaitu Dr.G dilantik dan menjadi musuh ketat Kamen Rider V3. Demi membuktikan kehebatan dirinya di depan mata Great Leader dia bertarung sendiri dengan V3. Bentuk asal Dr.G merupakan “Laser Crab” namun tewas di tangan V3. General baru terus dilantik untuk menggantikan Dr.G iaitu Baron Fang.

Baron Fang adalah seorang ahli sihir berasal dari magik hitam dan bentuk sebenarnya adalah “Bloodthirsty Mammoth”. Pelbagai cara serta kaijin dihantar untuk menentang Kamen Rider V3 namun kesemunya ditewaskan oleh V3 mengakibatkan Baron Fang terpaksa menentang V3 sendiri. Sekali lagi musuh ini tewas di tangan V3. Selepas kematian Baron Fang general baru dilantik iaitu Archbishop Wing bentuk sebenarnya “Deadman Bat”. Kaijin milik Archbishop Wing merupakan makhluk mutasi yang bersayap dan sering menyukarkan V3 bertarung dengan kebolehan mereka terbang di udara. Setelah V3 menghapuskan kesemua kaijin kini dia bertarung dengan Archbishop Wing. Akhir sekali Archbishop Wing turut tewas di tangan V3. Destron sekali lagi memperkenalkan general baru iaitu Marshall Armor dengan bentuk sebenarnya “Crawganna”.

Bermulalah peringkat terakhir perjuangan Kamen Rider V3 setelah kemunculan Yuki Jyoji. Yuki Jyoji adalah saintis Destron yang setia namun Marsall Armor telah memfitnahnya sehingga Yuki Jyoji dihukum mati di dalam kolam asid. Dia diselamatkan dan melarikan diri bersama beberapa rakan saintis. Namun tangan kanannya melecur teruk akibat terkena asid lalu menggantikan tangannya kepada tangan mekanikal. Di sebalik tangan mekanikal itu dia telah memperolehi kebolehan istimewa dan mampu bertukar menjadi Riderman. Dia berazam menghapuskan Marshall Armor tetapi masih setia terhadap Destron. Kamen Rider V3 sedaya upaya meyakinkan Riderman bahawa Destron merupakan pihak yang jahat. Akhirnya V3 dan Riderman bersatu menentang Destron.

Namun Riderman terbunuh ketika mengawal peluru berpandu yang dituju ke bandar Tokyo tetapi ianya meletup di udara bersama Riderman.  Kamen Rider V3 meneruskan perjuangannya menentang Marshall Armor. Marshall Armor yang cedera parah melarikan diri ke patung kala jengking di mana Great Leader berkomunikasi. Marshall Armor meminta bantuan Great Leader tetapi mati dibunuh oleh Great Leader. V3 yang mengekori Marshall Armor terus memusnahkan patung kala jengking itu. Munculnya Great Leader merupakan tengkorak yang mempunyai jantung. V3 berjaya menewaskan Great Leader dengan memusnahkan tengkorak dan jantungnya. Setelah kemusnahan Destron Kazami Shiro terus menghilangkan diri dan tiada siapa tahu ke mana dia menghilang. Namun Kazami Shiro pasti akan muncul sekiranya dunia sekali lagi diancam penjahat……






Rabu, 15 Jun 2011

Kamen Rider

Kamen Rider merupakan siri pertama di dalam "Siri Kamen Rider" era Showa. Ia disiarkan selama 2 tahun pada 3 April 1971 sehingga 10 Februari 1973. Siri ini mempunyai 98 episod dan merupakan Siri Kamen Rider yang paling panjang sehinggalah kini.

Kisah ini bermula apabila Hongo Takeshi telah ditangkap oleh Shocker lalu diubahsuai menjadi “cyborg”. Shocker merupakan satu organisasi misteri bertujuan menguasai dunia. Demi mencapai hasrat mereka Shocker mengarah ahli-ahlinya menangkap dan mengubahsuai menusia menjadi “cyborg” serta otak mereka dicuci untuk menghilangkan ingatan mereka. Shocker memerlukan tentera elit yang berkuasa bagi menguasai dunia. Sebelum langkah terakhir pengubahsuaian Hongo Takeshi telah diselamatkan oleh gurunya semasa kekecohan berlaku.

Disebabkan itu Hongo Takeshi masih mempunyai ingatan dan sifat manusia yang masih ada di dalam dirinya dan dia berazam untuk menentang Shocker dengan kuasa baru yang dimilikinya. Malangnya pada episod ke-10 watak Hongo Takeshi terpaksa direhatkan sementara akibat kemalangan. Bagi meneruskan siri ini Kamen Rider kedua diperkenalkan dalam episod ke-14 sebagai watak utama. Kamen Rider kedua itu beridentitikan manusia bernama Ichimonji Hayato. Dia adalah seorang jurugambar yang telah ditangkap oleh Shocker yang kemudiannya mengubah Ichimonji Hayato menjadi "cyborg". 

Tujuan Shocker mengubahsuai Ichimonji Hayato sebagai alat untuk menghapuskan Kamen Rider 1. Sebelum proses mencuci otak dijalankan Ichimonji Hayato telah diselamatkan Kamen Rider 1. Demi membalas budi Kamen Rider 2 bekerjasama dengan Kamen Rider 1 menentang Shocker. Kamen Rider 1 terpaksa pergi ke luar negara untuk menghapuskan musuh yang berada di sana. Kamen Rider 1 menyerahkan tugas menjaga keamanan Jepun kepada Kamen Rider 2 sementara waktu. Bermulalah tanggungjawab dan perjuangan baru Kamen Rider 2 menentang kaijin Shocker demi menggantikan Kamen Rider 1. Kamen Rider 2 mempunyai sedikit perbezaan di antara Kamen Rider 1 di mana dia memakai sarung tangan dan kasut berwarna merah serta mempunyai satu jalur putih sahaja di lengan dan seluarnya.

Ichimonji Hayato merupakan Rider yang pertama menunjukkan gaya sambil menjerit “Henshin” sebelum berubah menjadi Kamen Rider. Manakala Kamen Rider 1 tidak pernah menujukkan gaya tersebut sepanjang siri sehinggalah pada episod ke-40 dia mempunyai gaya “Henshin” yang tersendiri dan kembali beraksi untuk membantu Kamen Rider 2.


Kedua-dua pasangan Rider ini turut diberi gelaran “Double Riders” kerana sering berpasangan menentang musuh. Kenderaan yang dimiliki oleh kedua-dua Rider adalah motor yang sama dan bernama “Cyclone”. Ianya kemudian telah diubahsuai menjadi “New Cyclone” di mana terdapat perbezaan dari segi rekabentuk berbanding “Cyclone”.


Siri yang panjang ini tamat pada episod ke 98 apabila dua Rider ini bersatu menewaskan Shocker dan Gel-Shocker. Terdapat beberapa versi filem telah dikeluarkan antaranya “Go Go Kamen Rider” (1971) mengisahkan Shocker dua kaijinnya untuk memusnahkan pusat tenaga atom tetapi gagal kerana terdapat lapisan pelindung lutsinar di sekeliling pusat tenaga. Mereka kemudiannya telah menculik pemain bola sepak dan mengubahsuainya menjadi kaijin cicak. Kebolehannya mampu menendang bom seberat 5kg untuk menghancurkan lapisan pelindung itu. Kamen Rider muncul untuk menentang Shocker dan menghalang mereka memusnahkan pusat tenaga atom.
Filem kedua “ Kamen Rider Vs Shocker” (1972) mengisahkan Prof. Daidoji Hakase telah menghasilkan sebuah mesin graviti diberi nama GX Device. Shocker mengetahuinya dan ingin memiliki mesin tersebut. Mereka telah menyerang profesor dan memusnahkan makmal namun pelan rekaan GX Device tidak ditemui. Shocker kemudian menjejaki anak perempuan Prof. Daidoji Hakase setelah mengetahui pelan tersebut berada bersamanya. Kamen Rider bersama agen FBI, Taki Kazuya harus melindungi anak perempuan Prof. Daidoji Hakase dan menentang Shocker.



Filem yang ketiga “Kamen Rider VS Ambassador Hell” (1972) mengisahkan Hongo Takeshi (Kamen Rider1) dan agen FBI Taki Kazuya telah memalsukan kematian mereka apabila mereka diserang askar shocker ketika perlumbaan motocross. Mereka menyamar sebagai askar Shocker untuk menceroboh pangkalan Shocker tetapi malangnya Ambassador Hell Berjaya mengesan kedudukan mereka. Mereka kemudiannya telah ditangkap dan dipasangkan sebuah bom untuk meletupkan pangkalan. Ambassador Hell sempat memberitahu Shocker telah menyediakan sebuah laser gergasi yang boleh memusnahkan sebuah bandar. Hongo Takeshi dan Taki Kazuya harus mencari jalan melepaskan diri untuk menghalang Shocker dan laser gergasi. Begitulah beberapa info mengenai perjuangan Kamen Rider 1 dan 2.